October 14, 2011

Selamat tinggal..

Al-Fatihah buat Allahyarham Muhammad Nuruddin bin Aminuddin yang telah kembali ke Rahmatullah petang tadi. Muhammad Nuruddin seorang anak kecil yang ingin melihat keindahan dunia setelah berminggu-minggu menunggu di dalam rahim ibunya. Jumaat lepas Nuruddin di lahirkan. Dan aku menerima berita dengan penuh gembira tatkala hati meronta-ronta ingin melihat Muhammad Nuruddin. Tetapi di halang oleh pihak hospital kerana dia ditempatkan dalam 'incubator' disebabkan dia dilahirkan tidak cukup bulan.

Bila Ateh beritahu yang doktor katakan Muhammad Nuruddin akan bertambah berat dan akan menjadi seperti bayi yang sempurna, aku bersyukur sangat. Tak apalah tak dapat jumpa, mungkin aku boleh melihatnya bila dah keluar hospital.
Tatkala aku kembali jejakkan kaki ke Kuantan, Ateh beritahu yang ada seorang doktor cakap Muhammad Nuruddin mengalami komplikasi di dalam paru-paru. Hari pertama kakak ipar aku ingin melihat zuriatnya, beliau dikejutkan dengan berita tersebut. Hati memang marah dengan perkara tu. Mendengarkan abang aku bercerita pun aku tak mampu berkata-banyak.

Ramai orang mendesak ingin mengetahui cerita lanjut daripada aku mengenai perkara ni. Maaflah, bukan aku tak mahu ambil tahu. Tapi ini kisah hidup dan mati seseorang. Silap informasi, lain jadinya. Jadi aku lebih banyak mengambil langkah berdiam diri. Apakan daya, aku tidak dalam keadaan suci. Apa yang aku mampu, hanya berzikir dan berselawat.

Rabu malam kelmarin, sewaktu ingin melelapkan mata jantung sentiasa berdetak laju. Puas cuba pejamkan mata, namun memang sukar nak lelapkan. Semacam ada benda yang tak kena. Hati aku resah gelisah. Fikiran aku kosong. Tak ada apa yang terpalit tetapi memang ada perasaan resah. Tiba-tiba teringatkan si kecil. Ya Tuhan, mungkinkah akan berlaku sesuatu terhadap Nuruddin? Tanpa sedar, air mata mengalir laju. Fikiran kembali kusut seperti ketika Arwah mak dan abah sakit tenat. Malam tu memang aku tidak dapat lenakan diri.
Walaupun ada perasaan gundah gulana, namun aku tetap diamkan diri. Tak mahu bercerita kepada sesiapa. Walaupun dengan keluarga ku sendiri, dengan Ateh dan Kak Na.

Petang tadi, Alang menelefon setelah mendapat berita yang anak saudara kami tenat. Dalam hati terdetik, mungkin ini yang membuat aku jadi resah dan tak sedap hati. Aku tetap diamkan diri. Tak mahu berkata apa-apa.
Semasa pulang dari kerja, Alang kembali menelefon mengatakan yang Muhammad Nuruddin telah kembali ke Rahmatullah. Terus laju air mata mengalir. Mungkin itulah petunjuk yang Allah beri kepadaku. Aku tak mampu memandu ke sana. Aku tak mampu menahan sebak. Melihat wajah Ateh dan Kak Na membuatkan aku rasa bersalah. Bersalah kerana tidak mampu berkata apa-apa.

Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosaku. Kurniakanlah sinar kebahagiaan kepada abang juga kakak iparku. Berikanlah mereka rahmatmu, Kau tempatkanlah anak saudara ku di kalangan para syuhada'. Amin.

No comments: